Khamis, 28 Julai 2011

Program Ihya Ramadhan 2011

Salam putera puteri Sk Taman Pelangi,JB. Pada 29 Julai 2011 ( Jumaat ) pihak Panitia telah mengadakan majlis ihya` Ramadhan yang diadakan di Kantin sekolah. Murid-murid diterangkan tentang puasa.Niat, perkara yang membatalkan puasa dan banyak lagi tentang puasa.
Info Puasa.
PUASA : (bahasa Arab: صوم) secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri.

Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Dalil Firman Allah S.W.T:
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (QS Al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah s.a.w: Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Niat puasa Ramadhan
Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Lafaz niatSeseorang yang akan berpuasa diwajibkan berniat puasa pada malamnya. Bagi seorang lelaki sunat hukumnya berniat berpuasa selama sebulan. Ini adalah untuk mengelak daripada terlupa berniat setiap hari. Tetapi bagi Mazhab Syafie niat hendakalah dilakukan pada setiap hari. Jika terlupa memadailah dengan niat sebulan diawal puasa.

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:

نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَىNiatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

• Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

• Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

• Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok hari dan sebulan bulan Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.

Waktu berniat
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Hukum puasa
Puasa Wajib
1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
2. Puasa Kifarah.
3. Puasa Nazar.

Puasa Sunat

Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:
1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah
3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis

Puasa Haram
1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
4. Puasa pada Hari Tasyrik pada 11, 12, 13 Zulhijjah
5. Puasa perempuan haid & Nifas
6. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
7. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
8. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT

Syarat wajib puasa

Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:
• Berakal/waras
• Baligh (cukup umur)
• Mampu/tidak uzur.

Syarat sah puasa
Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:
• Orang Islam
• Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
• Suci daripada haid dan nifas
• Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.

Rukun puasa
Rukun puasa ada dua, iaitu:
• Berniat pada malam harinya
• Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sunat puasa
Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:

• Makan sahur serta melambatkannya
• Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
• Menjamu orang-orang berbuka puasa
• Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Perkara Makruh Dalam Berpuasa

Seseorang yang berpuasa hendaklah memelihara puasanya daripada melakukan perkara-perkara yang makruh, agar pahala puasa tidak berkurangan. Diantara perkara makruh dalam berpuasa ialah;

Perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa adalah seperti berikut :

1. Menggosok gigi selepas gelincir matahari. Mengikut Mazhab Syafie.

2. Merasa makanan - kerana takut sampai ke dalam rongga.

3. Memamah sesuatu - kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.

4. Banyak berkumur-kumur .

5. Mengelurkan darah seperti berbekam dan lainnya.

6. Mandi kerana mahu menyejukkan badan selepas waktu asar.

7. Bercakap perkara-perkara buruk dan keji

8. Memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan ketika berwuduk

9. Menderma darah

10. Tidur yang lama disiang hari makruh mengikut pendapat mazhab maliki.

11. Lewat menunaikan mandi hadas besar sehingga melepasi waktu imsak.

12. Memandang perempuan atau lelaki atau berkhayal sehingga menaikkan nafsu syahwat. Ini termasuk menontong filem atau video lucah. Perbuatan itu adalah haram dan menghapuskan pahala puasa.

13. Berbekam. Para fuqaha berhujjah tentang hukum berbekam. Kebanyakan mereka mengatakan berbekam itu hukumnya makruh. Ini boleh dilihat dalam kitab Mughni Al-Muhtaj (Jilid I) Mazhab Syafi'ie, As-Syarh As-Saghir (jilid I) Mazhab Maliki. Kedua mazhab ini berpendapat bahawa berbekam hukumnya makruh. Mazhab Hanafi pula berpendapat tidak makruh sekiranya berbekam itu tidak melemahkan orang yang berpuasa.

Asal hukum berbekam itu batal sebagaimana sabda Rasululah s.a.w. Nabi S.A.W: "Terbatal puasa pembekam dan yang dibekam." (Riwayat At-Tirmidzi dianggap hasan sahih, juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Abu Daud). Tetapi hadits ini telah dimansukhkan oleh hadith yang lain daripada Ibnu Abbas: "Sesungguhnya Nabi S.A.W berbekam sedangkan baginda berpuasa." (Riwayat Bukhari, At-Tirmidzi menganggapnya Hadith Hasan, Abu Daud, dan Ibn Majah)

Hadith pertama (berbekam batal puasa) berlaku sebelum pembukaan kota mekah iaitu pada tahun 8 hijrah sementara hadith kedua (berbekam tidak batal) diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Abbas menganut Islam bersama ayahnya semasa pembukaan kota mekah.

Oleh yang demikian, hadith yang pertama telah dinasakhkan oleh hadith kedua. (Ibn Kathir, Al-Baith Al-Hathith)


Perkara yang membatalkan puasa

Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:
• Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
• Muntah dengan sengaja
• Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
• Keluar darah haid atau nifas
• Gila (hilang akal)
• Pitam (termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
• Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
• Murtad (keluar dari Islam)
• Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga (dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
• Menyelam di dalam air kerana akan menyebabkan air memasuki rongga samada telinga, mata, hidung, dubur dan sebagainya.

Mereka yang diizinkan berbuka
Terdapat kelonggaran atau rukhsah (harus) kepada golongan yang berikut untuk berbuka:
• Orang yang sakit .
• Orang yang berkerja buruh.
• Orang yang dalam musafir (perjalanan).
• Orang tua yang sudah lemah.
• Orang yang hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Doa buka puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك يا أرحم الراحمين
Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Jika doa untuk ramai
اللهم لك صمنا وبك امنا وعلى رزقك أفطرنا برحمتك يا أرحم الراحمين

Tingkatan Puasa

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.

3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan

Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.

Kerugian meninggalkan puasa Ramadhan
Pahala puasa Ramadhan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, bukan saja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar, satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan